"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Monday, 30 April 2012

SIAPA GANAS???


Isunya dah jadi isu siapa yang ganas. PM Najib kata demonstran yang ganas. Bersih gagal kotakan janji untuk suatu perhimpunan aman. Kata beliau lagi, pihak kerajaan akan dedahkan bukti-bukti yang menunjukkan keganasan dilakukan oleh para demonstran terhadap anggota polis. Di pihak pembangkang, kerajaan Najib dan polis dipersalahkan terhadap keganasan yang berlaku.

Siapakah akhirnya yang akan menang bicara di hadapan rakyat? Kebenaran akan tersingkap juga akhirnya meskipun media yang dikongkongi oleh kerajaan Najib cuba menggelapkan bukti sambil tangan-tangan pihak KOTOR cuba memanipulasi keratan berita dan gambar.

Aku sedar kalian akan permainan jahat kerajaan Najib. Kenapa Najib beriya-iya cakap tentang keganasan pada 28 April 2012? Mengapakah tidak keluar walau  sepatah dari mulut beliau dan gerombolan mereka tentang isu 8 tuntutan Bersih? Kenapa tak ulas tentang daftar pemilih, tentang media yang tidak adil dan keahlian Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam UMNO?

Andai dalam tengkorak puak-puak ini tersusun indah deria otak, sudah pasti mereka terfikir siapa yang mahu jadi begitu bodoh untuk mendedahkan diri pada risiko undang-undang, gas, panas terik, terkaman polis di samping pengorbanan wang dan masa. Adakah sekiranya PM Najib dan gerombolannya melunaskan tuntutan Bersih 2.0, maka akan terjadi aktiviti DUDUK BANTAH itu? Dan apakah PM Najib tidak sedar bahawa versi Bersih 4.0, 5.0 dan seterusnya akan berlaku selagi ketelusan dan ketulusan tidak berlaku dalam pilihanraya di Malaysia?

Mengapakah mesti jadi begitu jahat untuk tidak memahami kehendak rakyat? Selesaikah masalah negara kalau PM Najib terus duduk bincang siapakah pengganas dalam Bersih? Berilah seribu bukti pun, rakyat yang berang akan terus bangkit menuntut hak. PM Najib dan gerombolan mesti tahu bahawa RAKYAT SUDAH HILANG RASA TAKUT. Yang belum rakyat buat ialah mengadakan ‘Hari Kemarahan’ seperti yang dilakukan oleh rakyat Mesir di Dataran Tahrir.  Bagaimana nanti sekiranya Bersih menganjurkan Hari Kemarahan selepas PRU13 nanti sekiranya terbukti BN  menang dengan penipuan?

Tuntasnya, di samping kita dedahkan bukti-bukti penipuan SPR, persengkokolan JPN, keganasan UMNO dan gerombolan mereka, Bersih hendaklah meneruskan bicarakan  rasional 8 tuntutan sehingga menyerap ke seluruh akar dan umbi. Biar akhirnya masyarakat kota dan desa sama-sama berkongsi maklumat yang terkini dan benar. Maka  jangan sekali-kali kita tenggelam dalam polemik ‘siapa yang ganas’ sehingga terabai teras tuntutan perjuangan kita.

AntiKarat.

Thursday, 15 December 2011

MELAYU UNDI PAS/PKR: SATU JUSTIFIKASI

Bangsaku Melayu UMNO,

Kalau benar kalian sayangkan Melayu dan kalau benar kalian prihatin akan nasib bangsa kita, maka jawapannya ialah pilihlah PAS dalam PRU13 nanti. Kalian masih ingatkah bahawa BN hanya dapat perintah Negara apabila bangsa Cina, India, Iban dan Kadazan solid menyokong BN. Inilah fakta yang berlaku sejak 50 tahun yang lalu hinggalah PRU 2004. Apabila berlaku anjakan yang agak besar daripada pengundi Cina dan India sahaja, kalian sudah dapat lihat apa yang terjadi kepada UMNO  dan BN. Lima negeri jatuh kepada Barisan Alternatif. Kini, yang UMNO/BN perlu hadapi dalam PRU13 nanti ialah pakatan yang lebih tersusun mantap iaitu Pakatan Rakyat.

Selepas PRU2008, sokongan bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat semakin ketara. Pengundi Cina sendiri , mengikut analisis pakar, sokongan mereka terhadap PR sudah menjangkau hampir 85%. Ingat, semasa PRU2008, sokongan pengundi Cina hanya sekadar 65%. Apa akan berlaku dengan swing tambahan sebanyak 20% lagi? Sudah pasti, kerusi  Parlimen berkomposisi Melayu 85% ke bawah yang dimenangi oleh UMNO/MCA/BN kurang daripada 5 000 undi amat tergugat sekarang. Benar kemungkinan UMNO masih mendominasi kerusi-kerusi Parlimen di kawasan komposisi Melayu 90% ke atas kerana permainan isu perkauman. Soalnya, cukupkah simple majoriti diraih oleh BN?

Senario di ambang tahun 2012 ini, bertambah lagi tiga elemen yang menguatkan lagi ketumbangan BN   ( bermakna kemenangan PR)  iaitu keterbukaan minda masyarakat majmuk di Sabah dan Sarawak, peratusan pengundi muda yang kini menjangkau 65%  serta rekahan yang mula nampak membuka laluan yang lebih besar di kawasan-kawasan Felda dengan kebangkitan para peneroka dan generasi muda mereka. Tidakkah tiga elemen ini mampu memberi pukulan yang lebih teruk kepada BN dalam PRU13 nanti? (PR sewajarnya melipatgandakan  usaha dalam tempoh yang semakin singkat ini untuk merancakkan capaian tiga elemen baru ini).

Seandainya BN menang tipis dengan lebihan kurang daripada 20 kerusi, tidak mungkinkah akan ada lompatan 10 MP kepada PR? Mengapa tidak diandaikan 10 MP Pakatan Rakyat akan melompat kepada BN? Antara dua arah lompatan itu, kalian fikirlah sendiri yang mana lebih berpotensi besar untuk berlaku berdasarkan “16 September” yang pernah mencemaskan BN?

Penulis optimis BN akan tumbang dalam PRU13 nanti sama ada secara mutlak atau dalam bentuk “16 September ke-2”.  Sama ada kerusi Melayu UMNO banyak atau kerusi Melayu PAS/PKR kurang, yang pasti ialah BN tidak lagi akan memerintah selepas PRU13 nanti. Putrajaya akan dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Bangsa Melayu UMNO bacalah realiti politik semasa. Jangan dok asyik dan syok dengan media perdana sahaja.

Pendek cerita, buktikanlah bahawa kalian benar sayangkan bangsa Melayu dan prihatin akan nasib bangsa dengan cara memberi undi dalam keadaan ringan mahupun berat  kepada calon Melayu PAS/PKR. Izinkanlah dengan redha pemimpin UMNO yang korup dan khianat terhumban dengan labu-labu mereka. Sedarilah, UMNO telah membusuk teruk dek kerana terlalu lama memerintah.  Status mereka  bertukar daripada bersifat sebagai wakil rakyat telah menjadi wakil kroni . UMNO baru bukan lagi UMNO sebelum era Mahathir. Sejak penswastaan Mahathir, para pemimpin UMNO telah cerdik untuk  mengambil daging manakala kuahnya dikendurikan kepada rakyat. Inilah konsep pemimpin berjiwa rakyat ala-UMNO. Masih belumkah tuan-puan sedar?

Akhir kata, saudara-saudaraku di dalam UMNO, marilah kita memberi kekuatan suara Melayu/Islam  dalam kerajaan baru Pakatan Rakyat agar Melayu/Islam terus  mendominasi pemerintahan Negara . Untuk itu ,berilah  undi dan bawalah  kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat handai UMNO kita  agar sama-sama mengundi calon Melayu/Islam PAS dan PKR.

AntiKarat,
15.12.2012

Wednesday, 30 November 2011

Akta Perhimpunan Aman Akan Menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat?


 
Massa mesti menggerakkan upaya agar Akta Perhimpunan Aman gagal dilaksanakan. Usaha PAS yang akan membawanya ke mahkamah dan NGO yang menggerakkan facebook wajar dipuji. Tindakan para peguam dan ahli Parlimen yang mengadakan perarakan aman juga wajar mencetus fenomena kesedaran rakyat. Apakah Payung Negara juga tidak akan merestui akta ini, sama-samalah kita saksikan.

Lakukanlah apa sahaja sebelum terlambat. Perangai pemimpin UMNO/BN keras-kotor macam besi. Massa hendaklah bertindak sebagai tukang besi. Pakatan Rakyat dan NGO mesti membakar dan mengetuk UMNO/BN ini sebagaimana tukang besi membakar dan mengetuk besi. Keras-kotor UMNO/BN ini tidak terkesan kalau diketuk macam tukang kayu mengetuk paku. Inilah realiti politik UMNO/BN yang amat takut-kecut kehilangan kuasa. Hilang kuasa adalah hilang segala-galanya. UMNO akan terperosok di muzium dibuatnya.

Inilah upaya kita yang tiada kuasa. UMNO/BN sewenang-wenangnya mencipta akta dan mentafsir undang-undang mengikut nafsu mereka. Rakyat menjadi mangsa kebuasan nafsu UMNO/BN. Gambarannya, dengan terlaksananya Akta Perhimpunan Aman, maka tiada lagi sebarang demonstrasi jalanan dan perhimpunan rakyat sebagaimana Bersih 2.0. UMNO melihat bahawa sebarang perhimpunan atau demonstrasi yang mirip Himpunan Dataran Tahrir di Mesir wajar dicantas awal-awal. Inilah nawaitu Akta Perhimpunan Aman.

UMNO sedar bahawa PAS/Pakatan Rakyat  sedia menggerakkan massa selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN memenanginya secara tidak adil dan penuh penipuan. . UMNO juga sedar PKR akan membuat bantahan mega sekiranya DS Anwar Ibrahim diapa-apakan oleh konspirasi politik kotor yang telah dijangkakan. Ini bermakna UMNO/BN boleh tumbang meskipun menang besar dalam PRU13 nanti. Sejarah ini telah berlaku di Mesir. Maka jawapannya ialah kuatkuasakan Akta Perhimpunan Aman.

Pada pandangan penulis, ada satu perkara yang UMNO tak terfikirkan. Ingatlah ilmu Allah mengatasi ilmu manusia. Perancangan Allah melangkaui perancangan manusia. Mungkinkah Akta Perhimpunan Aman akan menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat? Bagaimana?

Ya, bibit-bibit kejatuhan kerajaan UMNO/BN semakin kelihatan. Kebangkitan generasi muda, kebencian masyarakat bukan Melayu terhadap UMNO dan kemuakan rakyat terhadap rasuah, penipuan dan penyelewengan para pemimpin UMNO adalah petanda-petanda yang sukar diubati lagi. Ya, tanpa sempat digerakkan Himpunan Bersih 3.0 pun, kerajaan UMNO/BN akan tewas dalam PRU13 atas faktor-faktor di atas. 

Apakah  yang mungkin dilakukan oleh UMNO , PERKASA dan Mahaguru silat mereka sekiranya mereka tumbang dalam PRU13 nanti? Tidak lain tidak bukan, pastilah demontrasi jalanan, kerana itulah kerja mereka selama ini dalam mengganggu kestabilan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Kerja mereka ialah demonstrasi. 

Jadi dengan terlaksananya Akta Perhimpunan Aman, ahli-ahli UMNO, PERKASA dan mahaguru silat mereka terpaksa menggigit jari. Mata mereka sudah pasti terkulat-kulat melihat tewasnya kerajaan kesayangan mereka. Kalau mereka buat juga demonstrasi, kita alu-alukan. Dan yang menanti mereka ketika itu ialah senjata mereka sendiri iaitu, Akta Perhimpunan Aman. Insya-Allah tertegaklah dengan selamatnya kerajaan baru Pakatan Rakyat di Putrajaya. Sama-samalah kita doakan agar ini menjadi realiti.

AntiKarat,
30.11.2011

Tuesday, 22 November 2011

Akta Baru Akan Menggagalkan Bersih 3.0?

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang  dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen hari ini akan menyekat dan menggagalkan kebangkitan rakyat. Itulah natijah yang diharapkan oleh kerajaan UMNO/BN. Seksyen 27 akta baru ini menyebut bahawa perhimpunan awam tidak boleh diadakan di pekarangan stesen minyak, hospital, balai bomba, lapangan terbang, stesen kereta api, terminal pengangkutan darat, pelabuhan, limbungan, terusan, jambatan, rumah ibadat, tadika dan sekolah serta empangan. Ia tidak membenarkan protes jalanan dan melarang perhimpunan di zon 50 meter dari kawasan-kawasan larangan disenaraikan. Seiring dengan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, Akta Polis 1967 juga akan dipinda.  Mengikut Fasal 4, seseorang itu boleh didenda sehingga RM20 000.00

Ada dua persoalan utama di sini. Pertama, mampukah kerajaan UMNO/BN menyekat kebangkitan rakyat dengan terlaksananya akta tersebut? Rakyat akan berfikir berkali-kali sebelum bertindak menyertai sebarang perhimpunan politik. Mereka mungkin sanggup berhadapan dengan gas pemedih mata dan semburan air berasid. Namun belum tentu mereka sanggup menyusahkan diri dan ibu bapa mereka untuk menyediakan bayaran denda sehingga RM 20 000.00. Justeru, kemungkinan perhimpunan politik sukar untuk mengumpulkan demonstran sehingga puluhan ribuan orang apatah ratus ribu orang.  Persoalan susulan ialah akan terlaksanakah Himpunan Bersih 3.0 seperti yang diura-urakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat?

Persoalan kedua ialah sejauh manakah kerajaan UMNO/BN dapat bertahan dengan berperisaikan akta itu nanti? Kata Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang, air semasa kecil dapat dibendung. Namun apabila air membesar, tembok yang kukuh pun akan dilimpahinya. Inilah lumrah alam. Lihatlah bagaimana kekuatan tentera  dengan deretan kereta kebal sekalipun gagal mempertahankan kerajaan Husni Mubarak. Inilah rentetan kehancuran Firaun. Firaun moden tidak akan terlepas daripada menerima hakikat ini, sama ada Firaun moden itu sedang mencuri nafas di Mesir, Libya mahupun di Malaysia ini.

Akta itu kelihatan menghenyak kebangkitan rakyat rapat ke dinding. Namun manusia yang berakal dengan tendensi yang tinggi bisa beraksi seperti air. Air yang disekat akan mencari lurah-lurah baru untuk terus mengalir. Demikian juga sifat manusia yang kreatif. Mereka akan mencari lurah-lurah baru. Dan percayalah akhirnya kezaliman akan tumbang juga. Kata Allah, “Kun, fayakun”. Allah kata, “Jadi”. Maka terjadilah seperti kehendak-Nya. Penulis ingin memperingatkan  Najib yang memimpin kerajaan UMNO/BN. Kerajaan Dato’ Seri tidak akan dapat dipertahankan dengan apparatus kezaliman. Cara untuk memujuk kembali hati rakyat ialah dengan melakukan transformasi tabiat Dato’ Seri suami isteri serta agen-agen UMNO/BN sekali. Percayalah atau terpulanglah.

AntiKarat,
22.11.2011

Thursday, 3 November 2011

Bengong Dari Ustaz Azhar Sesuai Bagi Orang Seperti Nazri Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata bahawa keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan , hanyalah satu PANDANGAN institusi kehakiman. Tambahnya lagi dalam sidang Parlimen,  “ undang-undang itu yang melarang pelajar daripada menyertai aktiviti politik masih kekal tidak berubah. Akta itu masih satu akta.” 

Bagaimana mungkin seorang manusia berpendidikan boleh meletakkan dirinya menjadi begitu bengong dalam berhujah? Otak pembelit dan penipu tak habis-habis untuk mempertahankan benang basah. Keputusan mahkamah yang cukup berwibawa pun masih ingin diperlekehkan sebagai satu pandangan sahaja. Kalau hujah bengong ini dipakai bermakna semua keputusan mahkamah adalah satu pandangan yang boleh diingkari.

Bagi Nazri, kerajaan boleh meneruskan  AUKU  kerana mahkamah hanya telah mengeluarkan satu pandangan.  Kalaulah hujah dangkal tahap sekolah rendah ini digunapakai, maka tiada seorang manusia pun berhak dihukum apabila melakukan kesalahan dan jenayah. Apabila hakim membuat keputusan, mereka boleh sahaja menganggap itu hanyalah satu pandangan mahkamah. Kata Si Nazri, “ kerajaan boleh meneruskan AUKU.”  Maka kata penjenayah nanti, “aku boleh meneruskan rompakan, rogol dan pembunuhan kerana keputusan mahkamah hanyalah satu pandangan.”

Peliknya, berkata pula Ahli Parlimen Padang Rengas ini, “Sekarang terpulang kepada Peguam Negara sama ada mahu membuat rayuan dengan keputusan itu. Sehingga perkara itu dimuktamadkan, kita tidak boleh kata apa-apa.” Andaikata rayuan nanti berpihak kepada kerajaan, pelajar boleh mengambil hujah Si Nazri bahawa keputusan mahkamah adalah satu pandangan. Mereka boleh meneruskan penglibatan dalam politik dan kerajaan tidak wajar menghukum mereka hanya kerana satu pandangan mahkamah.

Sebenarnya, hujah Si Nazri ini bertolak daripada keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi kerajaan. Kalau kerajaan menang, tak akan ada istilah ‘pandangan mahkamah’ ini. Sungguh pelik ( jahat sebenarnya), Si Nazri bersungguh-sungguh menyalahkan pelajar yang mengemukakan pandangan politik mereka sedangkan pelajar-pelajar ini tidak terlibat dalam pertubuhan politik kepartian pun semasa belajar. Sebaliknya parti Si Nazri terang-terangan menubuhkan Kelab  UMNO di kolej dan universiti di luar negara. Apa jenis manusia warga UMNO ini?

Teringat aku pada istilah “BENGONG” yang selalu bermain di bibir Ustaz Azhar Indrus. Cara ustaz tersohor ini mengintonasikan sebutan itu memang nampak kasar dan keras. Barulah aku faham bahawa kata-kata itu hanya kasar dan keras bagi orang yang tak sepatut menerimanya. Adapun bagi Si Nazri ini, kata-kata “Bengong” bagaikan sirih pulang ke gagang sahaja layaknya. Nazri dan Bengong adalah sama cantik dan sama padan bagai pinang dibelah dua.

Tuntasnya, rakyat mesti bertanya, “pemimpin dan kerajaan seperti inikah yang hendak dipertahankan? Pemimpin dan kerajaan seperti inikah yang hendak diamanahkan agar menjaga anak cucu dan tanah air kita?” Kalau beginilah keadaannya, sungguh malang masa depan anak-anak Tuan/Puan yang masih berada dalam rahim ibu.