"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Monday, 5 September 2011

ISU KEMERDEKAAN MESTI SEIRING DENGAN ISU BERSIH.

Mengikut pengamatan penulis, isu Bukit Kepong cetusan Mat Sabu telah mengambil alih isu SPR bersekongkol dengan JPN, tuntutan Bersih 2.0, isu cincin Rosmah dan lain-lain. Isu Bukit Kepong menenggelamkan isu-isu lain kerana kekuatan UMNO/BN  dan kelemahan PAS/PR. Kekuatan UMNO/BN dimaksudkan kepada keupayaan mereka mensensasikan sesuatu isu kerana mereka menguasai media massa yang mampu sampai hingga ke setiap ceruk desa tanpa sekatan masa. Kelemahan PAS/PR pula dimaksudkan kepada sikap bagai lembu dicucuk hidung iaitu ikut sahaja rentak dan isu pihak lawan sehingga rentak dan isu sendiri tenggelam punca.

Isu Bukit Kepong mungkin akan dibawa oleh UMNO/BN sampai ke penamat kempen PRU13 sekiranya benar pilihan raya itu akan diadakan dalam tempoh terdekat. Kalau pemimpin PAS/PR masih skeptik untuk menyokong Mat Sabu  atas isu ini, maka UMNO/BN pasti mendapat untung lumayan dalam pilihan raya nanti.

Setiap hari mereka semboyankan isu yang telah diputarbelit ini. Hanya kita berkata itu putar belit, rakyat yang tidak mendapat penjelasan dari pihak kita akan meyakini fitnah pemimpin mereka sebagai satu isu yang benar. Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin tertinggi PAS/PR kelihatan tidak berani bersuara dalam isu kontroversi ini. Mungkin mereka kurang fakta dan maklumat sejarah untuk menyokong Mat Sabu. Ia mungkin benar kalau baru satu dua hari isu itu diuar-uarkan.

Kini dah masuk seminggu, sudah banyak maklumat dan fakta yang boleh dikumpulkan dari mulut cendekiawan dalam PAS/PR malah dari mulut Mat Sabu sendiri. Melalui internet, pelbagai infomasi boleh dipetik untuk dijadikan sandaran tentang ‘siapa pejuang, siapa pengkhianat’ dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Jadi tidak sewajarnya lagi, pemimpin PAS/PR teragak-agak untuk membela Mat Sabu yang menjadi mangsa fitnah Utusan laknatullah itu.

Percayalah, isu Mat Indera dan perjuangan menuntut kemerdekaan ini akan backfire kepada UMNO/BN. Rakyat sedang mencari maklumat dan menilai sekarang. Mereka sedang membina persepsi berdasarkan hujah mana yang lebih kukuh dan meyakinkan. Kini pun sebahagian generasi muda sudah mengenal pembohongan sejarah yang ditulis mengikut versi  UMNO.

Namun di sebalik isu hangat ini, PAS/PR sepatutnya tetap membelah suasana dengan isu-isu sendiri yang bersifat ofensif. Teruskan pendedahan daftar pemilih yang karut, desakan agar tuntutan Bersih dilaksanakan dan isu-isu yang membelit batang tubuh Najib, Rosmah dan UMNO itu sendiri. Pendek kata, PAS/PR mesti sentiasa bersikap ofensif sama ada menerusi isu yang dihangatkan oleh lawan mahupun isu-isu kelemahan dan kedurjanaan pihak lawan.

Ini bermakna, dalam kita memerangkap UMNO/BN dalam isu kemerdekaan negara, kita jangan lalai daripada meneruskan serangan dengan isu-isu besar yang masih belum selesai. Hendaknya, dalam kita sedang mengatur debat tentang kemerdekaan negara, terus ada pendedahan terbaru tentang daftar pemilih dan desakan Bersih 2.0 kerana tempoh tiga bulan untuk BN/SPR sudah hampir tamat. Sudahkan kita merencana Pelan A dan Pelan B setelah cukup tempoh tersebut?

AntiKarat,
05.09.2011

No comments:

Post a Comment