"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Thursday 27 October 2011

Inikah Rupa Kerajaan Yang Dipertahankan?

Apakah agenda kerajaan BN dalam melengah-lengahkan perbicaraan kes saman bapa Altantuya, Setev Shaariibuu? Masakan tarikh perbicaraan sampai kini tidak ketahuan hingga pihak yang meminta keadilan menjadi bagai pengemis keadilan dalam sebuah negara yang mendakwa sebagai Negara Islam.

Mahkamah diadakan untuk memberi keadilan kepada manusia.Di situlah tempat untuk menentukan benar dan salah secara bertamadun. Ambil sahaja mahkamah rimba kalau cara yang bertamadun juga dipermain-mainkan oleh pihak yang punya kuasa. Apakah yang boleh diumpamakan kepada sebuah kerajaan yang memanipulasi keadilan? Kalau kerajaan itu boleh dianggap sebagai kerajaan rimba maka sudah pasti pemimpinnya juga datang dari kepekatan rimba.

Kerajaan inilah yang cuba dipertahankan habis-habisan oleh para oportunis dan para ‘cerdik-pandai’ di perkampungan dan kawasan Felda. Siapakah yang ingin dipertahankan? Adakah yang ingin dipertahankan itu berupa sebuah kerajaan yang korup seperti yang terdedah melalui Laporan Audit Negara 2010 atau seorang individu yang kuasanya mengatasi undang-undang Negara?

Begitu butakah mata hati rakyat Malaysia sehingga tidak dapat menghidu sosok tubuh yang begitu hodoh menggauli batang tubuh Altantuya luar dan dalam. Belum cukupkah lagi maklumat yang wajar menjadi rakyat curiga akan sosok tubuh itu? Atau sengaja ditutupkan mata atas kepentingan peribadi berupa bantuan, subsidi dan projek?

Belum cukupkah lagi bukti penyelewengan wang Negara sebagai akibat suapan 10%, 20% untuk parti dan orang tertentu dalam setiap urusan projek dan tender. Kerana persen-persen itulah kos menjadi begitu tinggi. Stadium yang sepatutnya memerlukan RM 250 juta akhirnya menelan belanja sehingga RM500 juta.  Akhirnya belum sempat panas punggung, stadium runtuh menyembah bumi. Inilah kerajaan yang dipertahankan habis-habisan, by hook or by crook bersendikan pepatah biar berputih tulang, jangan berputih mata. Ptuiiii.

Sudahlah merempat, sanggup pula menjadi bangsat hanya kerana gula-gula seorang manusia. Pada tahap ke berapakah kualiti akal manusia yang terus-terusan menyokong kebobrokan pemimpin dan kerajaan seperti ini? Patutlah di zaman ini, kanak-kanak pun tahu kencingkan orang tua mereka. Agaknya aura mereka telah merasakan betapa orang-orang tua mereka sudah kencingkan masa depan mereka.

AntiKarat
27.10.2011


Tuesday 25 October 2011

Apakah Misi Bersih 3.0 Jika Diadakan Selepas PRU13?


Tuan Guru Presiden PAS memberi amaran amat tegas kepada pihak kerajaan BN/SPR agar melaksanakan lapan tuntutan pilihan raya yang adil dan bersih  sebaik sahaja selesainya Himpunan Bersih 2.0. Amaran itu dipertegaskan sekali lagi pada 14 Oktober yang lalu oleh Timbalan Presiden, Tuan Haji Mohamad bin Sabu. Bersih 3.0 boleh diadakan bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas PRU13. Demikian peringatan yang sepatutnya disahut dengan penuh rasa tanggungjawab oleh pihak penguasa.  

Sejauh manakah  kesediaan PAS/Pakatan Rakyat/ Bersih untuk memobilisasikan himpunan rakyat bagi Bersih 3.0? Penulis yakin bahawa Himpunan Bersih 3.0 tidak akan digerakkan sebelum PRU13. Ini berdasarkan kepada komitmen PAS/PR dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya  dan kesibukan  persediaan akhir untuk menghadapi PRU13 yang diramalkan akan berlangsung pada bila-bila masa.

 Ini bermakna Himpunan Bersih 3.0 hanya akan berlaku selepas PRU13 nanti. Himpunan ini hanya akan berlaku seandainya PAS/Pakatan Rakyat kalah teruk dan gagal mengekalkan kuasa di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan disebabkan oleh penyelewengan pilihan raya.

Data dan fakta sebelum atau selepas PRU13  akan dinilai dan dianalisis untuk melihat sejauh mana penipuan dan penyelewengan berlaku. Sekiranya terdapat bukti-bukti yang konkrit, maka Himpunan Bersih 3.0 tidak dapat ditolak lagi. Dengannya Pakatan Rakyat  ada justifikasi t untuk mempertikaikan keputusan PRU13.

Apakah misi Himpunan Bersih 3.0? Sudah pasti misinya  sama dengan Bersih 2.0. Namun sudah tentu ada satu lagi misi tambahan yang paling dominan iaitu kerajaan akan didesak untuk membatalkan keputusan PRU13 dan diadakan pilihan raya baru dengan pelaksanaan lapan tuntutan sedia ada.  Misalnya,  Selangor dimenangi oleh BN dengan undi-undi pendatang asing yang dianugerahkan kad pengenalan biru secara illegal, sudah sewajarnya rakyat yang menjadi penyokong Pakatan Rakyat akan bangkit menuntut keadilan. Inilah yang dapat dijangkakan.

Rakyat amat bimbang sekiranya jangkaan ini berlaku. Apa yang berlaku di Mesir akan melatari nasib rakyat jelata. Namun amarah manusia yang ditipu dan rasa tertipu bukan mudah dibendung dalam situasi hari ini. Kesabaran ada batasnya. Justeru itu, amat malanglah bagi negara ini sekiranya wang, kepakaran dan tenaga dibazirkan begitu sahaja demi pilihan raya semula. Dan terlebih-lebih malangnya sekiranya suasana menjadi tidak lagi kondusif.

Kerajaan Husni Mubarak yang begitu ampuh dengan pasukan keselamatan yang cukup lengkap pun tak lagi mampu apabila rakyat bangkit serentak, apatah lagi Malaysia. Inilah kebimbangan rakyat. Rakyat wajar berasa bimbang akan sikap kerajaan BN/SPR yang meremehkan desakan demi sebuah keadilan. Rakyat hanya mahukan sebuah pilihan raya yang adil dan bersih . Itu sahaja. Rakyat hanya mahu berlindung di bawah naungan parti yang telus dan tulus membela rakyat. Rakyat ingin bernaung di bawah kerajaan yang dipilih oleh warganya bukan klonnya.
                                                                                                                   
Sebagai warga yang prihatin, penulis selalu beringat-ingat dengan pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Jangan kerana survival peribadi, nasib rakyat diperjudi.Justeru itu, tulisan ini amat-amat diharapkan dapat membangkit deria rasa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya.

AntiKarat

Saturday 22 October 2011

Bob Lokman Dan Aziz Bari: Praktikal Untuk Pejuang Islam.

Bok Lokman: “"Buat apa saya hendak hadir, tidak ada kepentingan untuk Islam," katanya yang bertegas tidak akan hadir memberi keterangan di pejabat JAIS. "Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu hanya berserah pada Allah. 

Prof Aziz Bari: “Tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim. Sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan  tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.”


Para pejuang Islam seharusnya malu apalagi masyarakat awam yang bertuhankan hawa nafsu kebendaan. Apa tidaknya. Tidak kita sangka Bob Lokman yang bertahun-tahun hidup glamor dalam dunia artis begitu tegas mempertahankan prinsip Islam yang mula berbuah sebaik sahaja beliau melibatkan diri dalam perjuangan yang dibawa oleh PAS. 


Apabila beliau ditangkap oleh JAIS kerana mengajar agama tanpa tauliah, beliau begitu tegas mengherdik pegawai-pegawai JAIS. Biasanya orang yang ditangkap  tidak berani mengangkat muka. Sebaliknya, Bob Lokman berani pula membasuh dan menyembur pegawai-pegawai JAIS yang didakwa menjadi terompah kayu UMNO itu. Dia sanggup menghadapi apa sahaja risiko akan sikapnya yang menyanggah arahan JAIS. Beliau mungkin didenda dan dipenjara, namun itu tidak menjadi perhitungan baginya. Beliau amat yakin, berani kerana benar dan beliau yakin benar di sisi Allah.


Begitu juga Prof. Aziz Bari yang berani mempertahankan ilmunya meskipun dalam isu kuasa Sultan. Isu ini cukup sensitif. Sukar dicari dalam kalangan pejuang Islam sendiri yang berani bermain di ‘sempadan Sultan’. Tengoklah dalam isu Sultan Pahang yang memaafkan kesalahan Kartika yang mengaku meminum arak. Mana ada tokoh pejuang Islam yang berani menegur tindakan Sultan itu. Masing-masing hanya berani mengulasnya dalam majlis-majlis kuliah dalam bahasa  berlapik. Cuba sebutkan seorang ulama pejuang yang berani menerangkan tentang hukum yang melibatkan Sultan Pahang itu secara terbuka.

Maka apabila Bob Lokman dan Aziz Bari berani menyatakan dan mempertahankan ilmu dan keyakinan mereka, para pejuang Islam PAS sebenarnya perlu berasa malu dan terpukul. Artis yang tak sampai setahun terjun ke dalam perjuangan begitu tegas dan mantap akidahnya, sebaliknya kita ( termasuk aku) yang sudah berpuluh-puluh tahun bersama PAS dan menadah kitab belum tentu berani bersikap seperti Bob Lokman. Pakar undang-undang yang berada di luar PAS berani menyatakan ilmunya meskipun menyentuh sempadan sultan, sebaliknya kita yang saban masa bercakap tentang perjuangan Islam malu dan menikus apabila berbicara tentang ‘kesilapan diraja’.


Justeru itu, pejuang Islam haruslah berasa malu pada kedua-dua ikon ini. Malah kita sepatutnya belajar daripada keberanian dan ketegasan mereka. Mereka adalah  ‘role model’ bagi kita semua. Apakah JAIS akan runtuh kerana seorang Bob Lokman dan UIA akan runtuh kerana seorang Aziz? Sama-samalah kita saksikan kesudahan drama ini. Tidak mustahil juga drama ini akan berakhir dengan kejatuhan BN dalam PRU13 nanti. Insya-Allah.

AntiKarat.

Monday 10 October 2011

Ada Tiga Belanjawan Selepas Belanjawan Pilihanraya

Rakyat perlu ingat. Ada kemanisan dalam 'Belanjawan Penghabisan Stok 2012'. Belanjawan ini adalah belanjawan pilihanraya. Jadi BN sehabis mungkin memaniskannya untuk menarik semut-semut agar menghurunginya.Semut-semut pula jangan lupa. Selepas belanjawan pilihanraya, menanti semut-semut ialah tiga kali belanjawan sebelum belanjawan pilihanraya seterusnya. Malah tidak perlu tunggu belanjawan untuk kerajaan BN kenakan saman ekor, kenaikan tarif dsn.

Dengan alasan agar rakyat tidak diserang kencing manis, selepas menang PRU nanti, BN akan menarik kembali manisan tadi sama ada yang berupa subsidi mahupun one-off dan digantikan dengan cukai GST, cukai prabayar, saman ekor, kenaikan harga petrol dan sebagainya. Ketika itu, rakyat akan berasa pahit dan sakitnya 'permainan' BN. Menyesal tak berguna lagi. BN raya empat tahun lagi. Tiba pula PRU berikutnya, 'Belanjawan Penghabisan Stok' akan diulangi lagi.

Harap semut-semut tidak lupa bagaimana raksaksa BN memperkenakan mereka sebaik sahaja BN menang PRU12 dulu. Tak sempat nak tarik nafas, BN terus naikkan harga petrol, tarif eletrik lalu naik mencancanglah harga gula, minyak masak, gandum, bawang dan segala keperluan dapur dan barangan keperluan hidup para semut-semut.

Kalau semut-semut sudah faham dan insaf 'permainan belanjawan BN' ,

DHPP Tak Faham Perjuangan PAS?

- oleh AntiKarat

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw berkata bahawa  ramai ahli dewan itu tidak gembira dengan langkah PAS mahu memperkenalkan hukum hudud di Kelantan. Lebih menghairankan apabila beliau berkata, “Apabila anda jatuh cinta dengan seseorang, kalau apa pun terjadi, anda akan bersama. Tetapi apabila cinta sudah mula hilang, apabila perasaan sudah tiada, anda akan ikut jalan anda, saya akan ikut jalan saya sendiri,” katanya.

 Beliau memberitahu The Malaysian Insider bahawa persekitaran semasa ini adalah mencabar apabila penyokong-penyokong kalangan kaum Cina dalam PAS bersedia untuk meninggalkan parti itu, jika mereka merasakan mereka sudah tidak memperoleh “hasil pelaburan.”

Dakwa Hu lagi, PAS seharusnya menerima bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai kaum dan oleh itu, PAS harus melupakan usaha mahu mengenakan hukum hudud ke atas bukan Muslim

Cukup menghairankan. Bukankah sudah banyak kali disebut oleh Musyidul Am dan Presiden PAS bahawa hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan. Mustahil Hu sebagai Pengerusi DHPP tidak sedia maklum hal ini setelah begitu lama berdamping dengan kepimpinan PAS. Atau adakah Hu sudah berkecil hati dan ada agenda tersembunyi.

Apakah kekeliruan Hu ini disebabkan oleh sikap lepas pandang PAS yang sepatutnya terlebih dahulu menerangkan isu hudud kepada DHPP ? Kalau itu masalah sebenarnya, wajarlah DHPP rasa dipinggirkan. Mereka bukan rasa dipinggirkan hak mereka tetapi rasa terpinggir kerana PAS tidak bersedia untuk memberi maklumat ‘first-hand’ kepada mereka. Ini mungkin membuatkan mereka berkecil hati. Itulah nada Hu sebenarnya. Mustahil DHPP tidak selari dengan dasar dan perjuangan parti sekiranya mereka tidak dibiarkan terlepas pandang begitu rupa.

Dalam sibuk PAS, ingin menjelaskan isu hudud kepada masyarakat secara terbuka, mengapakah PAS tidak mengadakan majlis penerangan kepada ahli DHPP sendiri. Ahli yang beragam Islam di dalam PAS mungkin tidak memerlukan penjelasan lagi, tetapi berlainan dengan ahli yang bukan Islam. Mereka mudah keliru apatah lagi ilmu mereka tentang hudud tidaklah sedalam ilmu yang dimiliki oleh ahli beragama Islam. Justeru itu, sewajarnya DHPP diambilkira sebelum hati DAP mahu dijaga. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali sepertimana pernah terjadi kepada rakan PAS suatu waktu dahulu iaitu CCC.

Satu persoalan timbul; mengapa nada Pengerusi Hu Pang Chaw dan Timbalan Pengerusi DHPP, Balasubramaniam agak kontradik dalam isu hudud ini? Balasubramaniam awal-awal lagi menyokong hudud ini khususnya pelaksanaannya di  Kelantan?

Monday 3 October 2011

Jangan Dayuslah DS Najib.

Bukankah DS Najib pernah memperlekehkan DS Anwar Ibrahim tentang ujian DNA? Kata DS, Anwar penakutlah. DS sanggup beri DNA jika diminta. Bolehlah cakap, DS. Kalau mahkamah benar-benar berani minta DNA DS, berbagai-bagai alasan DS buat nanti. Kecut DS sampai ke ibu jari.


Nah, sekarang apabila Anwar minta DS dan Rosmah jadi saksi kes liwat 2, DS pasang peguam untuk elak jadi saksi. Hait, jadi saksi pun takut? Koman spanar jadi PM macam ni. Rakyat dah sure, peguam DS akan menang. DS dan isteri tak akan sampai ke mahkamah. Sama sebiji macam mentor DS, Tun Mahathir tu. Jenis manusia yang fobia dengan mahkamah. Mengapa fobia sangat, wahai DS Najib?

Berbalah Kerana Perangkap Tikus.

Cerita ini agak pelik bunyinya. Pelik tak pelik, tetap dan telah berlaku. Haji Musa menghadapi masalah tikus yang agak kronik. Banyak pakaian rosak berlubang di sana-sini digerit tikus. Baik pakaian anak-anaknya mahupun pakaian dia dan isteri yang mahal-mahal. Apabila sudah berlubang, tidaklah boleh dipakai lagi. Dibuang begitu saja sedangkan masih elok. Pakaian anak-anak bolehlah ditampal itu pun kalau berlubangnya tak banyak.

Selain itu, makanan seperti roti dan buah-buahan juga dimakan oleh tikus-tikus di rumahnya. Yang paling menakutkan sekarang ialah air kencingnya.  Maklumlah sudah banyak tersebar berita orang mati kerana air kencing tikus.

Haji Musa bercadang untuk memasang perangkap tikus. Dia menceritakan masalah dan rancangannya itu kepada jiran-jirannya yang turut mengalami masalah yang sama. Terkejut sakan Haji Musa apabila rancangan itu ditentang oleh jiran 1Malaysianya, Ah Tee. Alasan Ah Tee ialah rancangan Haji Musa itu zalim kepada binatang. Maka bising dan hebohlah Ah Tee membantah rancangan Haji Musa itu. Oleh sebab nak jaga hati jiran 1Malaysia, Encik Halim, jiran sebelah rumah yang satu lagi turut menyokong Ah Tee, malah lebih-lebih pulak marahnya terhadap idea Haji Musa.

Haji Musa agak terkedu dengan sikap Encik Halim dan Ah Tee. Namun dalam diam-diam dia terus membeli beberapa perangkap tikus. Selang beberapa hari kemudian, dia mendapat khabar bahawa jirannya Ah Tee dimasukkan ke wad kerana terkena jangkitan kuman air kencing tikus. Haji Musa bergegas melawat Ah Tee di hospital. Tak lama kemudian, tiba pula jirannya, Encik Halim.

Keadaan Ah Tee agak kritikal. Namun sempat juga mereka berbual ringkas tentang penyakit itu. Di hujung perbualan itu, Ah Tee berkata, “ Haji, maafkanlah aku kerana melarang rancangan haji untuk pasang perangkap tikus. Baru aku tahu tikus amat bahaya. Kau pasanglah perangkap tikus tu. Tolong beli dan pasang juga kat rumah aku.”

Encik Halim yang menentang keras penggunaan perangkap itu, rasa terkilan dengan perubahan sikap Ah Tee, lalu katanya, “buat apa kita perangkap tikus. Baik kita bagi dia cukup makan, tidaklah tikus-tikus itu mengganggu kita.”  Menggeleng kepala Haji Musa dan Ah Tee mendengar cadangan Encik Halim itu.

Alhamdulillah. Setelah melawat, pulanglah Haji Musa ke rumah PAS dan Encik Halim ke rumah UMNO. Tiga hari kemudian Ah Tee yang berjaya diselamatkan, kembali ke rumahnya DAP.


Sebulan kemudian, gempar berita dalam media, Encik Halim, Ketua UMNO Cawangan Batu Kerikil maut kerana jangkitan kuman air kencing tikus. Mengucap panjang Haji Musa. “Aiyaa!!! kata Ah Tee, “ itulah tidak mahu guna perangkap tikus.”

Moralnya ialah andaikata perangkap itu ialah hukum hudud dan tikus itu ialah penjenayah, apakah umat Islam dalam UMNO dan masyarakat bukan Islam lebih rela membiarkan penjenayah mencari mangsa tanpa mengenal agama dan bangsa daripada menyelamatkan masyarakat dan negara secara keseluruhannya? Apakah rasional masyarakat bukan Islam menentang umat Islam yang ingin mengamalkan ajaran Islam dalam kalangan mereka tanpa melibatkan gangguan dan gugatan terhadap kepentingan masyarakat bukan Islam?

AntiKarat,
3 OKT 2011