"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Wednesday 30 November 2011

Akta Perhimpunan Aman Akan Menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat?


 
Massa mesti menggerakkan upaya agar Akta Perhimpunan Aman gagal dilaksanakan. Usaha PAS yang akan membawanya ke mahkamah dan NGO yang menggerakkan facebook wajar dipuji. Tindakan para peguam dan ahli Parlimen yang mengadakan perarakan aman juga wajar mencetus fenomena kesedaran rakyat. Apakah Payung Negara juga tidak akan merestui akta ini, sama-samalah kita saksikan.

Lakukanlah apa sahaja sebelum terlambat. Perangai pemimpin UMNO/BN keras-kotor macam besi. Massa hendaklah bertindak sebagai tukang besi. Pakatan Rakyat dan NGO mesti membakar dan mengetuk UMNO/BN ini sebagaimana tukang besi membakar dan mengetuk besi. Keras-kotor UMNO/BN ini tidak terkesan kalau diketuk macam tukang kayu mengetuk paku. Inilah realiti politik UMNO/BN yang amat takut-kecut kehilangan kuasa. Hilang kuasa adalah hilang segala-galanya. UMNO akan terperosok di muzium dibuatnya.

Inilah upaya kita yang tiada kuasa. UMNO/BN sewenang-wenangnya mencipta akta dan mentafsir undang-undang mengikut nafsu mereka. Rakyat menjadi mangsa kebuasan nafsu UMNO/BN. Gambarannya, dengan terlaksananya Akta Perhimpunan Aman, maka tiada lagi sebarang demonstrasi jalanan dan perhimpunan rakyat sebagaimana Bersih 2.0. UMNO melihat bahawa sebarang perhimpunan atau demonstrasi yang mirip Himpunan Dataran Tahrir di Mesir wajar dicantas awal-awal. Inilah nawaitu Akta Perhimpunan Aman.

UMNO sedar bahawa PAS/Pakatan Rakyat  sedia menggerakkan massa selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN memenanginya secara tidak adil dan penuh penipuan. . UMNO juga sedar PKR akan membuat bantahan mega sekiranya DS Anwar Ibrahim diapa-apakan oleh konspirasi politik kotor yang telah dijangkakan. Ini bermakna UMNO/BN boleh tumbang meskipun menang besar dalam PRU13 nanti. Sejarah ini telah berlaku di Mesir. Maka jawapannya ialah kuatkuasakan Akta Perhimpunan Aman.

Pada pandangan penulis, ada satu perkara yang UMNO tak terfikirkan. Ingatlah ilmu Allah mengatasi ilmu manusia. Perancangan Allah melangkaui perancangan manusia. Mungkinkah Akta Perhimpunan Aman akan menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat? Bagaimana?

Ya, bibit-bibit kejatuhan kerajaan UMNO/BN semakin kelihatan. Kebangkitan generasi muda, kebencian masyarakat bukan Melayu terhadap UMNO dan kemuakan rakyat terhadap rasuah, penipuan dan penyelewengan para pemimpin UMNO adalah petanda-petanda yang sukar diubati lagi. Ya, tanpa sempat digerakkan Himpunan Bersih 3.0 pun, kerajaan UMNO/BN akan tewas dalam PRU13 atas faktor-faktor di atas. 

Apakah  yang mungkin dilakukan oleh UMNO , PERKASA dan Mahaguru silat mereka sekiranya mereka tumbang dalam PRU13 nanti? Tidak lain tidak bukan, pastilah demontrasi jalanan, kerana itulah kerja mereka selama ini dalam mengganggu kestabilan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Kerja mereka ialah demonstrasi. 

Jadi dengan terlaksananya Akta Perhimpunan Aman, ahli-ahli UMNO, PERKASA dan mahaguru silat mereka terpaksa menggigit jari. Mata mereka sudah pasti terkulat-kulat melihat tewasnya kerajaan kesayangan mereka. Kalau mereka buat juga demonstrasi, kita alu-alukan. Dan yang menanti mereka ketika itu ialah senjata mereka sendiri iaitu, Akta Perhimpunan Aman. Insya-Allah tertegaklah dengan selamatnya kerajaan baru Pakatan Rakyat di Putrajaya. Sama-samalah kita doakan agar ini menjadi realiti.

AntiKarat,
30.11.2011

No comments:

Post a Comment