"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Sunday, 7 August 2011

PAS WAJAR MENGADAKAN SIMULASI PILIHANRAYA.


Pilihanraya Olok-olok adalah satu langkah proaktif yang dilaksanakan oleh UMNO/BN. Dalam olok-olok itu mereka berjaya mengenal pasti hala tuju pengundi, kelemahan dan kekuatan parti serta memahirkan petugas mereka dengan selok-belok pilihanraya.

Banyak manfaat yang mereka peroleh dari olok-olok itu. PAS/PR hanya mampu menyindir kerja olok-olok UMNO/BN. Mungkin PAS/PR sama situasi dengan musang yang mengatakan buah anggur masam. Maklumlah, UMNO/BN boleh menggunakan segala bantuan logistik, eksploitasi pegawai kerajaan dan harta benda awam demi kepentingan politik durjana mereka. PAS/PR mungkin tidak mampu melaksanakan pilihan raya olok-olok sebaik UMNO/BN.

Kata orang, kalau tidak mampu lakukan semua, jangan tinggal semua. PAS/PR boleh mengadakan simulasi pilihanraya mengikut acuan dan cara sendiri. Yang penting, tenaga kerja dapat digembleng  dan dilengkapkan dengan kemahiran yang dapat diaplikasi ketika pilihanraya sebenar nanti.

Benar, PAS/PR telah mengadakan kursus-kursus untuk petugas-petugasnya. Namun, PAS/PR patut juga mengadakan satu mekanisme untuk membina kelompok petugas yang berketrampilan lebih-lebih lagi dalam situasi masa kini yang membuktikan pilihanraya di negara kita berjalan dalam keraguan.

Melalui simulasi pilihanraya, PAS/PR dapat mengenal pasti segala kelemahan dan berusaha membaiki segera sebelum pilihanraya sebenar diadakan. Tanpa simulasi, sukar untuk ditemukan kelemahan, kesukaran dan rintangan yang biasanya dapat dilakukan menerusi analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Kesempatan, Ancaman).

Tidak patut ada dalam kalangan petugas dan agen pilihanraya yang tidak perform, kelu dan takut untuk bertindak. Mereka yang kurang ilmu dan maklumat mudah diperbodohkan oleh pegawai SPR dan agen pihak lawan. Justeru itu, simulasi pilihanraya amat penting untuk membina keyakinan diri petugas-petugas parti.

Pendek kata, jangan dihairankan adaptasi dalam politik. Ini adalah lumrah malah UMNO/BN sendiri sudah banyak menciplak idea-idea PAS dalam politik dan pentadbiran. Ingatlah bahawa keputusan yang terbaik terhasil daripada persiapan dan perancangan strategi yang terbaik.

AntiKarat,
7.8.2011

No comments:

Post a Comment