Tuan Guru Presiden PAS memberi amaran amat tegas kepada pihak kerajaan BN/SPR agar melaksanakan lapan tuntutan pilihan raya yang adil dan bersih sebaik sahaja selesainya Himpunan Bersih 2.0. Amaran itu dipertegaskan sekali lagi pada 14 Oktober yang lalu oleh Timbalan Presiden, Tuan Haji Mohamad bin Sabu. Bersih 3.0 boleh diadakan bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas PRU13. Demikian peringatan yang sepatutnya disahut dengan penuh rasa tanggungjawab oleh pihak penguasa.
Sejauh manakah kesediaan PAS/Pakatan Rakyat/ Bersih untuk memobilisasikan himpunan rakyat bagi Bersih 3.0? Penulis yakin bahawa Himpunan Bersih 3.0 tidak akan digerakkan sebelum PRU13. Ini berdasarkan kepada komitmen PAS/PR dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan kesibukan persediaan akhir untuk menghadapi PRU13 yang diramalkan akan berlangsung pada bila-bila masa.
Ini bermakna Himpunan Bersih 3.0 hanya akan berlaku selepas PRU13 nanti. Himpunan ini hanya akan berlaku seandainya PAS/Pakatan Rakyat kalah teruk dan gagal mengekalkan kuasa di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan disebabkan oleh penyelewengan pilihan raya.
Data dan fakta sebelum atau selepas PRU13 akan dinilai dan dianalisis untuk melihat sejauh mana penipuan dan penyelewengan berlaku. Sekiranya terdapat bukti-bukti yang konkrit, maka Himpunan Bersih 3.0 tidak dapat ditolak lagi. Dengannya Pakatan Rakyat ada justifikasi t untuk mempertikaikan keputusan PRU13.
Apakah misi Himpunan Bersih 3.0? Sudah pasti misinya sama dengan Bersih 2.0. Namun sudah tentu ada satu lagi misi tambahan yang paling dominan iaitu kerajaan akan didesak untuk membatalkan keputusan PRU13 dan diadakan pilihan raya baru dengan pelaksanaan lapan tuntutan sedia ada. Misalnya, Selangor dimenangi oleh BN dengan undi-undi pendatang asing yang dianugerahkan kad pengenalan biru secara illegal, sudah sewajarnya rakyat yang menjadi penyokong Pakatan Rakyat akan bangkit menuntut keadilan. Inilah yang dapat dijangkakan.
Rakyat amat bimbang sekiranya jangkaan ini berlaku. Apa yang berlaku di Mesir akan melatari nasib rakyat jelata. Namun amarah manusia yang ditipu dan rasa tertipu bukan mudah dibendung dalam situasi hari ini. Kesabaran ada batasnya. Justeru itu, amat malanglah bagi negara ini sekiranya wang, kepakaran dan tenaga dibazirkan begitu sahaja demi pilihan raya semula. Dan terlebih-lebih malangnya sekiranya suasana menjadi tidak lagi kondusif.
Kerajaan Husni Mubarak yang begitu ampuh dengan pasukan keselamatan yang cukup lengkap pun tak lagi mampu apabila rakyat bangkit serentak, apatah lagi Malaysia. Inilah kebimbangan rakyat. Rakyat wajar berasa bimbang akan sikap kerajaan BN/SPR yang meremehkan desakan demi sebuah keadilan. Rakyat hanya mahukan sebuah pilihan raya yang adil dan bersih . Itu sahaja. Rakyat hanya mahu berlindung di bawah naungan parti yang telus dan tulus membela rakyat. Rakyat ingin bernaung di bawah kerajaan yang dipilih oleh warganya bukan klonnya.
Sebagai warga yang prihatin, penulis selalu beringat-ingat dengan pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Jangan kerana survival peribadi, nasib rakyat diperjudi.Justeru itu, tulisan ini amat-amat diharapkan dapat membangkit deria rasa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya.
AntiKarat
No comments:
Post a Comment