"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Wednesday 31 August 2011

Siapa Hero Siapa Pengkhinat: Dedahkan Tembelang UMNO.


oleh AntiKarat
Oleh kerana PAS tidak mempunyai media harian seperti mana UMNO mempunyai Utusan, Berita Harian, RTM dan TV3, maka isu-isu yang agak kontroversi mudah memerangkap PAS. Ini termasuklah isu terkini berkaitan hero kemerdekaan sebenar seperti yang dicetuskan oleh Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang telah diputarbelit secara ganas oleh Utusan Malaysia dan konco-konconya. Ada juga pemimpin dan ahli PAS dan PR sendiri yang pening kepala dengan isu ini. Ada yang kecewa kerana isu ini umpama memberi peluru hidup kepada UMNO dalam keadaan PAS tidak mempunyai media harian yang mampu membuat penerangan dan pembelaan diri.

Penulis juga cemas dalam mengikuti isu ini. Kemudian rasa cemas itu beransur-ansur hilang apabila dapat pengesahan bahawa ucapan Mat Sabu telah ditokoktambah dan diputarbelit oleh akhbar laknatullah. Dari sehari ke sehari, penulis semakin jelas akan isu pokoknya. Malah rasa terkilan pula andaikata polemik ini putus sekerat jalan setelah UMNO mula menyedari senjata makan tuan.   

Hari ini, penulis berpendapat bahawa isu ini akan backfire kepada UMNO. Generasi  muda yang menekuni laman maya mula terbuka minda dan tertarik untuk mengetahui kisah sebenar  perjuangan kemerdekaan negara. Jadi, penulis mengesyorkan PAS,  tokoh sejarah dan sejarawan yang tulus mesti tampil berani untuk mendedahkan fakta-fakta dan dokumen-dokumen yang disembunyikan oleh UMNO. Wacana ilmiah perlu diadakan agar akhirnya rakyat khususnya generasi muda sedar siapa sebenarnya pengkianat dan siapa hero yang berjuang untuk kemerdekaan negara.

Mungkin selama ini generasi muda tidak berminat dengan isu-isu sejarah. Minda mereka lebih bereaksi dengan sains, internet dan perkembangan dunia moden. Namun isu Bukit Kepong  cetusan berani Mat Sabu ini tak semena-mena menarik rasa ingin tahu mereka. Apa tidaknya; mereka selama ini dimomokkan oleh rekod sejarah ciptaan UMNO yang tersurat di dalam buku-buku teks, bahan-bahan arkib dan propaganda kemerdekaan ciptaan UMNO. Apabila mereka didedahkan isu Bukit Kepong, mereka mula terfikir tentang siapa yang memerintah Tanah Melayu pada 1950 iaitu tujuh tahun sebelum Tanah Melayu merdeka.

Mereka juga mula terfikir mengapa UMNO yang mendakwa dirinya sebagai parti Melayu yang berjuang untuk kemerdekaan itu, namanya   berciriselari dengan penjajah Inggeris iaitu, United Malays National Organisation? Sedangkan gerakan-gerakan kemerdekaan waktu itu semuanya bernama Melayu. Contohnya, PKMM ( Parti Kebangsaan Melayu Malaya),  API ( Angkatan Pemuda Insaf), KMM  (Kesatuan Melayu Muda), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), Hizbul Muslimin dan BATAS ( Barisan Tani Semalaya) .  Orang Melayu di kampung dan Felda tidak ambil peduli nama ini kerana telah terbiasa pada lidah Melayu. Mereka rasa sebutan UMNO itu dah macam Melayu. Namun bagi generasi muda, tidak begitu. Mereka kritis; mengapa dakwa berjuang untuk Melayu tetapi nama bau penjajah?

Banyak lagi hubungkait  parti Melayu bernama Inggeris ini dengan penjajah yang wajar diketahui oleh rakyat. Maka sekaranglah masanya, PAS perlu membuka  tembelang  UMNO kepada generasi baru yang lebih canggih inteleknya. Justeru itu, jangan takut untuk berdebat dengan UMNO atas isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat ini. Yang penting ialah setiap pemimpin hendaklah mengumpulkan fakta dan dokumen untuk menguatkan hujah bahawa parti Melayu bernama penjajah sebenarnya adalah talibarut Inggeris yang mengkhinati pejuangan para ulama dan pejuang silam seperti Tok Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan disambung oleh tokoh-tokoh pejuang tahun 1950-an yang digelapkan namanya oleh talibarut penjajah. Era internet dan intelek, UMNO tak mampu lagi menyembunyikan sejarah yang sebenar. Kebenaran akan tersingkap juga akhirnya lantas berlabuhlah tirai palsu UMNO untuk gilirannya pula menjadi bahan arkib Negara.

Thursday 25 August 2011

BUKAN KATA DUA TETAPI DUA PILIHAN UNTUK NAJIB/SPR.

- oleh AntiKarat

Tak guna beri kata dua yang keras kepada Najib/SPR. Apa yang rakyat ada. Yang dapat,  sakit kena belasah, kena sembur, kena maki, kena ISA dan macam-macam. Najib ada kuasa sebesar-besar kuasa. Polis dan tentera di belakangnya. Jabatan kerajaan dan media massa 24 jam sanggup bekerja untuknya. SPR dibayar gaji oleh Najib. Jadi tak susah untuk kuasa Najib melindungi SPR dan pegawainya selagi SPR bekerja sealiran dengan Najib. Justeru itu, rakyat tak perlu beri kata dua kepada Najib/SPR ini. Lagipun, tak guna beri kata dua kepada orang keras kepala selagi rakyat belum berani mengeraskan kepala.

Tulisan ini hanya untuk memperingatkan  Najib/SPR bahawa mereka hanya ada dua pilihan. Mereka sendiri pilih sama ada mahu kemenangan secara jantan yang diiktiraf atau kemenangan yang dipertikaikan. Kemenangan yang diiktiraf datang daripada satu proses demokrasi yang telus, adil dan bersih. Kemenangan ini sifatnya bermaruah, sejahtera dan berpanjangan. Rakyat akan mengizinkan pemenangnya mentadbir negeri dan negara mengikut tempoh mandat yang diperuntukkan. Manakala kemenangan yang dipertikaikan bersifat naïf dan mengundang  bala. Kalau di Mesir, kemenangan besar Hosni Mubarak pendek umurnya.

Kini rakyat terdedah kepada berita-berita peralihan kuasa secara bertamadun di Barat dan peralihan kuasa melalui kuasa rakyat di Timur Tengah. Rakyat bukan sahaja semakin bermaklumat tetapi juga belajar dari peristiwa di negara-negara tersebut. Dari Barat, rakyat belajar bahawa moral dan akauntabiliti sangat dihargai oleh pemimpin dan masyarakat. Manakala di Timur Tengah rakyat belajar bahawa hanya revolusi mampu merealisasikan cita-cita mereka. Di Mesir, rakyat bukan lagi sekadar berhimpun, sebaliknya mereka sanggup berkampung di tengah-tengah kota. Kalau mahu mendapat keadilan, mereka bukan sahaja tidak perlu takut gas pemedih mata malah sanggup mendada peluru hidup.  Apabila sudah sampai tahap ini, Muammar Ghadafi dan bala tenteranya habis lama sanggup bertahan selama enam bulan.

Tempoh tiga bulan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat sudah tak banyak bakinya. Najib pula awal-awal lagi menggambarkan kerajaan bila-bila masa boleh mengadakan pilihanraya. SPR juga sudah menawarkan tugas operasi kepada kakitangan kerajaan. Bantahan bersama bukti oleh pemimpin Pakatan Rakyat tidak dilayan malah diherdik pula. Justeru itu, rakyat boleh memahami Najib/SPR pilih kemenangan bentuk yang mana satu. 
Nampaknya terpulanglah kepada rakyat bagaimana untuk ‘meraikan’ kemenangan Najib nanti. Sekali lagi ditegaskan bahawa ini bukan kata dua untuk Najib/SPR. Di sebaliknya, rakyat sudah dapat menghidu pilihan yang ditentukan oleh mereka. Semoga Najib/SPR dapat ‘survive’ dengan kemenangan besar yang bakal dikecapi oleh mereka.

Thursday 11 August 2011

Perlukah Terengganu Minta Bantuan Pakar IT PAS Pusat?


Tabik untuk Dewan Pemuda PAS dan rakan yang seangkatan dengannya. Kejayaan mereka mengorek lopak najis SPR dan JPN amat mengkagumkan. SPR dan JPN dan lebih-lebih lagi para konspirator dalam UMNO tentu terkejut dengan kepakaran IT Pemuda PAS. Mereka tentu tidak menyangka sama sekali bagaimana PAS/PR mampu bekerja dengan kepakaran yang canggih sehingga terbongkarnya konspirasi terkutuk dalam sejarah negara.

Ribuan kes permastautin tetap yang mempunyai kad pengenalan merah dibirukan dalam tempoh segera untuk memastikan UMNO/BN dapat merampas kembali kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat serta mengekalkan kuasa di peringkat Pusat.  Tidak memadai dengan aset tetap undi pos dan undi berganda, penjenayah politik ini sanggup wariskan  tanah air ini untuk dikongsi bersama antara anak cucu mereka dengan warga asing.

Dalam kita sibuk dengan pendedahan ini kebanyakan berlaku di negeri Pantai Barat, kita terlupa untuk menjenguk masalah di Terengganu yang merupakan antara negeri terawal dicemari oleh pengundi hantu. Sejak zaman Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Ahmad menjadi MB Terengganu lagi, telah kedapatan warga Myammar dan Kemboja menjadi pengundi di Terengganu. Sehinggalah ke zaman Idris Jusoh, tidak sekadar pengundi warga asing tadi ditambah pula pengundi yang berganda-ganda banyaknya nisbah kepada pertambahan pengundi setiap 5 tahun dan peratus peningkatan pengundi berbanding dengan negeri-negeri lain.
Sampai hari ini, itulah situasi daftar pemilih di Terengganu. Sebab itulah apabila culaan atau kajian yang dibuat menunjukkan PAS akan berjaya mengambil-alih Terengganu pada PRU2008, namun yang terjadi hanyalah pertambahan 4 kerusi sahaja. Meleset benar dari jangkaan.

Soalnya sekarang ialah, adakah PAS Terengganu tidak berusaha untuk berkongsi kepakaran  menjejaki pengundi hantu atau PAS Pusat lebih cenderung untuk menyelamatkan  Selangor? Adakah PAS Terengganu perlu berusaha sendiri tanpa ada yang sudi meninjau-ninjau daftar pemilih di Terengganu? Atau isu ini tidak relevan di Terengganu?

Sunday 7 August 2011

PAS WAJAR MENGADAKAN SIMULASI PILIHANRAYA.


Pilihanraya Olok-olok adalah satu langkah proaktif yang dilaksanakan oleh UMNO/BN. Dalam olok-olok itu mereka berjaya mengenal pasti hala tuju pengundi, kelemahan dan kekuatan parti serta memahirkan petugas mereka dengan selok-belok pilihanraya.

Banyak manfaat yang mereka peroleh dari olok-olok itu. PAS/PR hanya mampu menyindir kerja olok-olok UMNO/BN. Mungkin PAS/PR sama situasi dengan musang yang mengatakan buah anggur masam. Maklumlah, UMNO/BN boleh menggunakan segala bantuan logistik, eksploitasi pegawai kerajaan dan harta benda awam demi kepentingan politik durjana mereka. PAS/PR mungkin tidak mampu melaksanakan pilihan raya olok-olok sebaik UMNO/BN.

Kata orang, kalau tidak mampu lakukan semua, jangan tinggal semua. PAS/PR boleh mengadakan simulasi pilihanraya mengikut acuan dan cara sendiri. Yang penting, tenaga kerja dapat digembleng  dan dilengkapkan dengan kemahiran yang dapat diaplikasi ketika pilihanraya sebenar nanti.

Benar, PAS/PR telah mengadakan kursus-kursus untuk petugas-petugasnya. Namun, PAS/PR patut juga mengadakan satu mekanisme untuk membina kelompok petugas yang berketrampilan lebih-lebih lagi dalam situasi masa kini yang membuktikan pilihanraya di negara kita berjalan dalam keraguan.

Melalui simulasi pilihanraya, PAS/PR dapat mengenal pasti segala kelemahan dan berusaha membaiki segera sebelum pilihanraya sebenar diadakan. Tanpa simulasi, sukar untuk ditemukan kelemahan, kesukaran dan rintangan yang biasanya dapat dilakukan menerusi analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Kesempatan, Ancaman).

Tidak patut ada dalam kalangan petugas dan agen pilihanraya yang tidak perform, kelu dan takut untuk bertindak. Mereka yang kurang ilmu dan maklumat mudah diperbodohkan oleh pegawai SPR dan agen pihak lawan. Justeru itu, simulasi pilihanraya amat penting untuk membina keyakinan diri petugas-petugas parti.

Pendek kata, jangan dihairankan adaptasi dalam politik. Ini adalah lumrah malah UMNO/BN sendiri sudah banyak menciplak idea-idea PAS dalam politik dan pentadbiran. Ingatlah bahawa keputusan yang terbaik terhasil daripada persiapan dan perancangan strategi yang terbaik.

AntiKarat,
7.8.2011

Monday 1 August 2011

80% SPR AKAN GUNAKAN BIOMETRIK, BUKAN DAKWAT KUKU.

ANDAIKATA, BERSIH 2.0 DAN PAKATAN RAKYAT TIDAK BERKERAS SEKARANG, KEMUNGKINAN SEMAKIN BESAR BAHAWA SPR/BN AKAN GUNAKAN BIOMETRIK DAN BUKANNYA DAKWAT KUKU. MASA SEMAKIN SUNTUK. APAKAH LANGKAH YANG AKAN DIAMBIL SEKIRANYA TEMPOH 3 BULAN YANG DIBERIKAN KEPADA SPR/BN TAMAT? SUDAHKAH ADA PELAN TINDAKAN ATAU HABIS TEMPOH BARU HENDAK DIRANCANG?