"RAKYAT PERLU TAHU SEKARANG......TAMING SARI DI TANGAN JEBAT."

Sunday, 31 July 2011

TAMING SARI KINI DI TANGAN JEBAT.


Ini bukan retorik yang tidak berlapik. Bukan juga obor semangat yang tak bertempat. Taming Sari entah di mana. Jebat sudah tiada. Taming Sari kini adalah simbol kuasa. Manakala Jebat adalah simbol rakyat yang berani berjuang menuntut hak mereka.

Sekarang rakyat dari Perlis ke Sabah mesti sedar. Kuasa mereka adalah kuasa keramat. Apabila rakyat bangkit, tiada siapa lagi yang berani menyekat. Rakyat mesti berani menuntut hak dan keadilan. Momentum keberanian ini mesti diteruskan. Rakyat berada pada landasan yang betul dalam membina sebuah Malaysia yang adil, demokratik dan sejahtera. Peristiwa-peristiwa  berikut menunjukkan bahawa Taming Sari telah berada di tangan Jebat.

Pertama, semua orang merasakan perhimpunan Bersih 2.0  tidak akan jadi kerana tindakan, ancaman dan kawalan ketat pihak berkuasa di setiap pintu masuk dan dalam kota raya itu sendiri. Patriot, PERKASA dan ribuan pesilat Omar Din sedia mengharu-birukan perhimpunan mereka. Berjalan-jalan pada pukul 10.00 pagi, kita tertanya-tanya di mana peserta yang lain. Namun pada 12.00 tengahari mula kelihatan bondongan-bondongan manusia yang mula keluar entah dari ceruk mana. Kemuncaknya lebih 100 000 rakyat penuh semangat dan keberanian merealisasikan Himpunan Bersih 2.0.

Kedua, bagaimana 91 orang pemimpin yang dilarang masuk ke KL pada 9 Julai dapat bersama rakyat. Risiko menanti mereka apabila mereka melanggar perintah mahkamah. Namun, atas dasar kepercayaan terhadap hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara serta kepentingan menegakkan keadilan demokrasi, mereka terus melangkah gagah bersama rakyat meskipun dihidangkan bau asap gas pemedih mata dan tindakan mahkamah sedia menanti.

Ketiga, apabila TG Haji Hadi ditangkap, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman telah memberi amaran 24 jam kepada PDRM/UMNO/BN agar membebaskan Presiden PAS itu segera. Jika tidak, rakyat akan berhimpun di Bukit Aman dan Balai Polis Jinjang. Rakyat ternyata sudah hilang rasa takut. Dan ternyata keberanian telah menjadi salah satu faktor Presiden PAS dibebaskan dengan segera.

Keempat, bagaimana rakyat beramai-ramai menolak video PDRM/BN sebaliknya mereka begitu tekun mengikuti video yang dihasilkan oleh lensa rakyat. Mereka tidak takut lagi membantah kepalsuan. Mereka terus menyanggah melalui kajian kes dan bahan bergambar untuk mendedahkan kepada rakyat yang mana benar dan yang mana palsu.

Kelima, pihak polis mahu menyaman Mat Sabu sebaliknya Mat Sabu yang bangkit menyaman mereka. Bukan hanya Mat Sabu, malah Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan ramai lagi yang terlibat akan bertindak serupa. Rakyat berani menuntut hak dan keadilan untuk mereka.

Keenam, rakyat berani berhadapan dengan PM di mana sahaja sekarang untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kezaliman kerajaan. Para pemuda yang berbaju kuning tidak gentar untuk berjumpa dengan PM di mana sahaja yang terluang demi menyuarakan pandangan mereka.



Ketujuh, EO membolehkan mereka menahan tahanan 60 hari tetapi tak sampai sebulan PDRM/BN terpaksa melepaskan mereka. Mereka akur dengan desakan rakyat yang semakin berani dan kolektif. EO6 sendiri begitu tega menghadapi segala karenah penguasa dan kesusahan apabila berpisah dengan keluarga masing-masing. “Brainwash” yang dikenakan terhadap mereka sepanjang tempoh tahanan tidak sedikit pun menggoncangkan jati diri mereka dalam perjuangan.

Sedarilah wahai para pejuangan keadilan dan demokrasi. Tanpa kalian sedari , Taming Sari sudah berada di tangan sendiri. Kalian adalah Jebat. Kalian diharapkan agar dapat mengembalikan hak rakyat.  Jangan biarkan Taming Sari direnggut semula dari tangan kalian. Teruskan perjuangan. Gegarkan medan kerana rakyat dahagakan  keadilan……YA KEADILAN.

AntiKarat,
31 Julai 2011.

No comments:

Post a Comment